? ??????????????Love and Laughs? ????? ?? ???Rating: 4.4 (5 Ratings)??88 Grabs Today. 7093 Total Grabs. ??
????Preview?? | ??Get the Code?? ?? ?????Live, Love, Laugh? ????? ?? ???Rating: 4.6 (8 Ratings)??87 Grabs Today. 14933 Total Grabs. ??????Preview?? | ??Get the Code?? ?? ???????????? BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS ?

Saturday, March 6, 2010

Penyatuan

Semua blog saya telah disatukan di bawah satu blog lama. Untuk membaca semua sambungan cerita yang ada di sini, sila klik ke http://adrinmalina.blogspot.com

Thursday, February 18, 2010

Qhalisha 3

“Sini dik. Sini dik. Nasi campur, mee goreng, bakso.”
“Nasi ayam, nasi goreng.”

Sebaik kaki melangkah memasuki kawasan food court, beberapa pekerja kedai yang memang ternanti-nantikan pelanggan meluru datang ke arah Qhalisha dengan harapan kedai mereka akan menjadi pilihan. Rata-rata yang datang merupakan pekerja Indonesia berdasarkan slang yang kedengaran. Qhalisha hanya tersenyum dengan keadaan yang sedang dihadapinya lalu langkah diteruskan menuju ke kedai yang terletak bersebelahan tempat menyimpan beg.

Nasi campur menjadi pilihan Qhalisha untuk tengahari itu. Sambil menikmati makanan, mata melilau memandang ke sekeliling kawasan food court tersebut. Pandangan matanya terhenti di kedai makanan paling hujung yang terletak bersebelahan tangga. Di kedai itulah dulu Qhalisha seringkali mengisi perutnya dengan hidangan nasi ayam yang menjadi sajian utama di situ.

Usai mengisi perut, pekerja kedai dipanggil untuk mengira harga makanan yang diambil. "Semua sekali tujuh ringgit.” Harga yang kedengaran dari mulut pekerja kedai memeranjatkan Qhalisha. Begitu jauh bezanya harga makanan dulu dan sekarang. Kalau dulu makanan seperti yang diambil sebentar tadi hanya berharga empat ke lima ringgit sahaja. Mungkin kerana mengikuti perkembangan semasa kenaikan harga barang yang semakin lama semakin mahal. Atau mungkin juga kerana ingin menampung visa dan permit pekerja warga asing mereka maka pelanggan dikenakan bayaran tinggi sebegitu.

Selesai melunaskan bayaran, Qhalisha mengatur langkah meneruskan perjalanan meninggalkan Hentian Puduraya yang banyak merakamkan kenangan dalam hidupnya sepanjang menetap dan bekerja di Kuala Lumpur. Suasana bandaraya Kuala Lumpur memang sudah berbeza. Kaki dihayun menuju ke Stesen Bas Klang yang terletak berhadapan Pasar Seni. Melintasi Kotaraya yang gah berdiri yang dahulunya penuh dengan remaja melayu yang melepak kini sudah berganti dengan kebanjiran warga asing terutama dari Filipina yang kebanyakannya berniaga bahan kecantikan. Tak ketinggalan juga warga asing dari pelbagai bangsa yang bersantai di situ.

Melihat bas Metro yang berhenti mengambil penumpang di situ mengingatkan Qhalisha kepada teman baiknya sewaktu dia menjadi penghuni Kem Sungai Besi dahulu. Di situlah rakannya itu dua kali dalam masa sebulan kehilangan dompet yang disimpan di dalam beg tangannya sewaktu berebut-rebut menaiki bas. Kasihan bila memikirkan nasib rakannya itu. Tetapi kini Qhalisha telah terputus hubungan terus dengan rakannya itu. Entahkan sihat entahkan tidak. Entah-entah telah berkeluarga. Sudah lama Qhalisha tidak berhubungan dengannya. Kali terakhir ketika dia menerima perkhabaran tentang lelaki itu yang telah dianggap mati dalam ingatannya. Perkhabaran yang membuatkan Qhalisha merasakan bahawa tuhan itu maha mengetahui. Berita yang menyatakan bahawa lelaki itu yang telah mendirikan rumahtangga dengan pilihan hatinya itu telahpun berpisah.

Qhalisha masih ingat di situlah, di bangunan Kotaraya itulah dia selalu menghabiskan masa bermain permainan video bersama rakan-rakan sekepala, yang rata-ratanya adalah lelaki. Qhalisha lebih senang berkawan baik dengan lelaki kerana tiada pengkhianatan. Sungguh Qhalisha serik untuk mempercayai kaum sejenisnya lagi setelah kepercayaannya dibalas kecurangan dan penipuan.

Selepas perpisahannya dengan lelaki itu, Qhalisha yang masih bekerja turut meletak jawatan dari syarikat pengangkutan yang beribu pejabat di Melaka itu walaupun Qhalisha mempunyai rekod yang baik di situ. Qhalisha mengalih angin memperbaiki nasib dengan bekerja sebagai pembantu tadbir kewangan di sebuah universiti awam yang terletak di Lembah Pantai. Bekerja di sana, Qhalisha menemui rakan-rakan yang sekepala dengannya. Sama gila-gila sepertinya. Di situ Qhalisha tidak perlu lagi mengawal diri berpura-pura menjadi hipokrit. Di situ Qhalisha boleh menjadi dirinya sendiri. Qhalisha gembira di situ. Bersama rakan-rakan di situlah Qhalisha mengenali dunia yang penuh keseronokan. Keseronokan sementara.

Meneruskan lagi perjalanan, Qhalisha tiba di Pasar Seni. Di sini juga Qhalisha seringkali menghabiskan masa bersama lelaki itu. Memandang terus ke arah bangku-bangku batu yang terletak di sepanjang sungai bersebelahan Pasar Seni, mengingatkan Qhalisha kepada kenangan sewaktu bersama lelaki itu. Seringkali di bangku itu Qhalisha menghabiskan waktu bersama lelaki itu sebelum pulang ke rumah selepas seharian bekerja. Ah! Banyak sungguh kenangan Qhalisha bersama lelaki itu. Lelaki yang menjadi punca putusnya perhubungan Qhalisha bersama cinta pertamanya.

Sesekali Qhalisha terfikir, mungkin apa yang dialaminya bersama lelaki itu merupakan balasan tuhan terhadap kesilapan yang telah dilakukannya dulu. Mengkhianati seorang insan yang benar-benar menyayanginya, yang sanggup menunggunya menghabiskan persekolahan untuk hidup bersama. Qhalisha redha dengan ketentuan tuhan.

Wednesday, January 27, 2010

Sepenuh Hati - Bab 5

Tiap-tiap malam aku balik lambat. Aku bukannya ke mana pun. Aku cuma menghabiskan masa aku di kedai sepupu Shaf. Ibu pulak naik risau tengok aku. Satu pagi waktu sarapan ibu tegur aku.

“Tiap-tiap malam Apit balik lambat. Cuba Apit cakap dengan ibu, Apit ke mana sebenarnya ni?” Tajam pandangan ibu.

“Apit jumpa kawan bu.” Takkanlah aku nak beritahu ibu yang aku jumpa Shaf tiap-tiap malam, tentu ibu marah nanti.

“Buat apa jumpa kawan tiap-tiap malam? Apit jangan buat benda tak senonoh. Ibu tak suka.” Tegas suara ibu. Naik kecut juga perut aku mendengarnya.

“Takdelah bu, mana ada Apit buat benda tak senonoh. Apit minum-minum sambil sembang dengan kawan-kawan.” Ibu kata aku dah mula liar. Ibu nak hantar aku balik kampung duduk dengan nenek semula. Aku taknak. Aku nak duduk sini, rumah ibu. Aku tak mahu lagi berjauhan dengan Shaf.

“Bu, boleh tak kalau Apit kerja dekat kedai makan sepupu kawan Apit sementara tunggu keputusan ni?” Aku mencuba nasib.

“Tak payah. Ibu masih mampu tanggung Apit lagi.” Serius wajah ibu.

“Ala bu, bolehlah. Sekurang-kurangnya Apit boleh dapat pengalaman.” Masih juga aku mencuba nasib memujuk ibu. Manalah tahu hatinya lembut bila dipujuk.

“Keputusan ibu muktamad. Nanti kalau dah kerja, dah seronok pegang duit sendiri, Apit malas belajar lagi pulak. Ibu nak anak-anak ibu belajar sampai universiti.” Ibu terus tinggalkan aku terkulat-kulat dengan keputusannya.

Aku call nenek. Aku mengadu dengan nenek. Nenek faham situasi aku dan nenek call ibu aku. Nenek pujuk ibu agar izinkan aku kerja. Alhamdulillah, lepas nenek pujuk barulah ibu izinkan aku kerja. Aku gembira sangat. Tak sabar rasanya nak jumpa Shaf untuk khabarkan berita gembira ni.

Tuesday, January 26, 2010

Qhalisha 2

“Sekarang awak pilih antara dua, saya ataupun dia!” Lantang suaranya sambil matanya memandang tepat ke arah dua manusia yang berdiri tercegat di hadapannya di sudut itu. Manusia yang lalu-lalang memandang ke arahnya seketika lantas terus berlalu meneruskan kehidupan mereka.

“Saya pilih dia.” Serta-merta semangatnya seolah terbang, hatinya mati mendengar ungkapan yang terluah dari mulut lelaki itu. Lelaki yang berdiri di hadapannya. Di sisinya berdiri seorang gadis yang amat dikenalinya. Gadis yang telah dianggapnya sebagai adik sendiri selama ini. Kecewa, dia kecewa melihatkan lelaki itu melingkarkan tangannya mesra di atas bahu gadis itu.

“Baiklah. Mulai hari ini saya anggap awak sudah mati.” Hanya ungkapan itu yang mampu terluah dari bibirnya. Tiada airmata yang tumpah dari sepasang matanya yang sudah tidak sanggup melihat kemesraan mereka. Kaki terus melangkah meninggalkan pasangan itu bersama hati yang hancur sehancurnya seolah kaca yang terhempas ke batu.

Kakinya terus melangkah menuruni tangga di Platform 7. Sebaik pandangan matanya tertancap pada bas yang memang dinanti, langkah terus dihayun laju ke situ. Laju kakinya mendaki tangga bas dan terus duduk di atas bangku khas yang diletakkan di sebelah pemandu. Langsung tidak dihiraukannya mata-mata penumpang lain yang memandang ke arahnya. Rasa sakit dicurangi oleh insan-insan yang dipercayai lebih mempengaruhi fikirannya.

Pandangan yang terarah ke cermin hadapan ditala ke arah pintu bas apabila terdengar suara orang berbual di situ. Matanya terus memandang adegan mesra pasangan yang berada di hadapan pintu bas itu. Si gadis bersalaman dan mencium tangan si lelaki lalu si lelaki membalas dengan mengucup dahi si gadis. Tiada rasa cemburu yang terdetik di hatinya tika menyaksikannya walaupun baru sebentar tadi pasangan itulah yang telah menghancurkan hatinya.

Kepingan tiket yang dihulur oleh gadis itu kepadanya dicapai lalu keratan kecil dikoyakkan untuk disimpan. Keratan yang besar dipulangkan semula kepada gadis itu. Dia sebenarnya tidak menyangka gadis itu akan menaiki bas yang sama dengannya. Hatinya tiba-tiba menjadi rawan. Ketika dia pergi memeriksa jumlah penumpang di dalam perut bas, si gadis itu menegurnya. Cuba beramah mesra barangkali. Namun dia tidak terasa seperti ingin berbicara dengan gadis itu.

“Kak Lisha marahkan Anis ke?” Wajah gadis itu penuh mengharap. Hanya gelengan yang mampu dia berikan apabila mendengar soalan yang dilemparkan oleh gadis itu. Tidakkah gadis itu tahu betapa kecewanya jika dikhianati oleh insan yang dipercayai. Bukankah hati perempuan itu mudah tersentuh. Tidakkah gadis itu terasa betapa sedihnya dia terluka. Kenapa langsung tidak ada rasa bersalah pada wajah gadis itu setelah mengkhianatinya? Tidak sanggup lagi dia untuk terus menatap wajah gadis itu lalu langkah diteruskan kembali ke tempat duduknya.

“Lisha ada masalah ke?” Pemandu yang sememangnya dikenalinya itu bersuara setelah dia kembali ke tempat duduknya. Dia hanya melemparkan senyuman mendengar soalan itu.

“Senyum pulak dia. Lisha ni kenapa? Abang tengok Lisha ni macam ada masalah. Ceritalah dengan abang. Kalau abang boleh tolong, abang tolong Lisha.” Abang Jamil masih belum berputus asa.

“Tak ada apalah Bang Jamil. Lisha okay. Tak ada masalahpun.” Sedaya-upaya wajahnya diceriakan di hadapan Abang Jamil. Dia tidak mahu Abang Jamil tahu dia sedang terluka. Dia tidak mahu Abang Jamil merasa belas terhadapnya.

“Kalau macam tu kata Lisha, tak apalah. Tapi kalau Lisha ada masalah, jangan malu nak beritahu abang. Abang akan sentiasa menjadi pendengar Lisha.” Dia merasa terharu dengan kebaikan Abang Jamil terhadapnya.

“Ouch!” Terjerit kecil Qhalisha apabila dirinya dirempuh oleh seseorang. Terbang melayang segala yang bermain di fikirannya. Matanya tajam mencerlung ke arah orang yang merempuhnya tadi.

“Maaf.” Hanya sepatah ucapan maaf yang dilontarkan kepadanya dan orang itu terus berlalu meninggalkannya. Bahunya yang sakit akibat dirempuh menambahkan rasa marah di hatinya namun kemarahan itu tidak dapat dihamburkan lantas langkah diatur meninggalkan kemarahan dan kenangan pahitnya di sudut itu.

Wednesday, November 25, 2009

Mengharap Sebuah Harapan

Bulan itu warna biru
Indahkah ia?
Bersendiri di tepi kali duduk termenung
Mengenang dosa diri
Adakah berpenghujung?

Kelam malam kelam hati
Sunyi menangguk sepi
Terkurung dalam diri
Saban hari
Sehingga mati

Bilakah agaknya
Akan munculkah sinar bahagia
Apakah ada
Kesempatan untuk aku
Membuang sepi yang beraja
Dan menghapus dosa itu
Lantas mula membina
Sebuah kehidupan yang segar
Laksana udara nyaman di atas gunung?


Ilham dari jiwa
24 November 2009
10.16 pagi
Klang

Wednesday, October 21, 2009

Gurindam Jiwa - Seiring

Hidup di balik tirai derita
Jiwa mati sedangkan jasad masih bernyawa
Lemah tiada upaya
Longlai menerus langkah
Mencari setitik bahagia

Singkapkan tirai itu
Campakkan ia jauh-jauh
Ke hujung dunia
Biar jiwa yang telah mati
Mampu bergetar kembali

Pergilah sengsara
Tinggalkan jiwaku
Datanglah bahagia
Meliputi jasadku
Agar jasad dan jiwaku
Seiring


Ilham dari jiwa
2.54pm 21/10/2009
klang

Gurindam Jiwa - Usia, Jasad Dan Senja

Di suatu senja itu
Warna merah jingga berserakan di kaki langit
Indah...
Sungguh indah di pandangan saat itu
Namun waktu indah itu
Hanya sekadar secebis waktu
Umpama kehadiran watak picisan
Atas sebuah pentas lakonan
Perlahan-lahan...
Pergi....
Berlalu meninggalkan rentetan kenangan

Walau terkadang...
Sebagai manusia kita sering alpa
Namun hakikat perjalanan masa
Tak ubah seperti hilangnya warna jingga senja itu
Dan bergantian dengan kelamnya malam
Begitulah juga kita manusia
Meniti waktu meninggalkan usia yang kian senja
Dan terus menapak ke arah malam yang semakin kelam

Bagaikan senja berganti malam
Begitulah aturan sebuah kembara hidup
Satu jasad yang entah layak atau tidak digelar manusia
Apabila telah sampai janji penciptanya
Melangkahlah ia dalam redha mahupun terpaksa
Longlai meninggalkan terang kehidupan
Masuk ke alam kematian
Lalu sekujur jasad itu kemas tersimpan
Di dalam sebuah ruang yang gelap.


Ilham dari jiwa
11.54am 21/10/2009
Klang

Friday, October 16, 2009

Qhalisha 1

Sudah empat belas tahun dia pergi. Sudah empat belas tahun dia tidak kembali. Dan kini, selepas empat belas tahun dia kembali semula ke sini. Keadaan kini terlalu jauh bezanya dibandingkan empat belas tahun dahulu.

Hentian ini sudah berubah wajahnya. Berubah sama sekali. Tiada lagi deretan bas Tong Fong berwarna biru dengan suara konduktur perempuannya yang menjerit-jerit memanggil penumpang. Tiada lagi deretan bas hijau Syarikat Foh Hup menuju ke Seremban yang akan diserbu penumpang sebaik pintunya dibuka. Juga tiada lagi juraian manusia yang beratur sehingga ke luar bangunan untuk mendapatkan perkhidmatan bas SKS kerana ia telah dipindahkan ke tempat lain.

Lemah langkahnya mendaki anak tangga dari platform menuju ke ruang atas. Kelihatan ratusan manusia memenuhi ruang menunggu. Berceratuk manusia di setiap deretan bangku batu yang dibina. Qhalisha keletihan namun tiada kelihatan ruang kosong untuknya melabuhkan punggung bagi menghilangkan lelah seketika.

Food Court. Ya, di situ tentu sekali Qhalisha boleh berehat. Sambil menghilangkan penat boleh juga Qhalisha mengisi perutnya yang sedari tadi minta diisi. Satu persatu langkahnya diatur. Satu persatu lot kedai dilintasinya. Qhalisha berhenti di situ. Di hadapan lot kedai yang mempamerkan barangan kulit. Dia teringat kenangan sewaktu bekerja di situ. Seminggu. Hanya seminggu Qhalisha mampu bekerja di situ. Masa yang panjang namun gaji yang ditawarkan tidak lumayan. Apabila Qhalisha berhenti, gaji untuk penat lelah selama seminggu bekerja di situ lebur, tetap berada di dalam poket pemilik kedai.

Qhalisha kembali geram. Geram dengan sikap pemilik kedai yang mengambil kesempatan. Geram kerana masa dan tenaganya yang habis di situ tidak mendatangkan pulangan. Pemilik kedai memandang ke arah Qhalisha, sekadar memandang, tidak mendekati mahupun bertanya. Qhalisha meneruskan langkah perlahan meninggalkan kedai itu.

Langkahnya terpaksa dicepatkan sedikit ketika melalui booth-booth tiket yang disediakan oleh pihak pengurusan bangunan. Hatinya sedikit marah. Dia rasa terganggu dengan kehadiran manusia-manusia yang lebih mesra dipanggil ulat tiket bertebaran merata di situ. Tidak cukupkah dengan kerani yang bertugas di dalam kaunter sehingga memerlukan khidmat manusia-manusia ulat ini?

“Nak ke mana dik? Johor? Melaka? Alor Star?”

Qhalisha hanya menggelengkan kepala mendengarkan pertanyaan ulat tiket yang dikiranya bukan rakyat Malaysia berdasarkan dari dialek yang digunakannya. Lelaki dan perempuan dilihatnya sama sahaja di situ. Tanpa rasa malu terjerit-terjerit, terkejar-kejar mencari pelanggan. Ada juga yang lagaknya seperti seorang pembantu peribadi atau seperti pembantu kedai yang sentiasa membuntuti pelanggan memujuk agar produk mereka terjual. Yang penting bagi mereka hanyalah tiket yang dipegang harus terjual. Pernah terdengar kata-kata, “bila berada dalam industri ini, rasa malu harus dibuang jauh ke tepi.” Mungkin itulah yang jadi pegangan mereka tanpa memperdulikan perasaan orang yang kebanyakannya rasa terganggu apabila datang untuk membeli tiket.

Tatkala pandangannya terarah ke sebuah kaunter tiket, terimbas semula kenangan suatu masa dahulu. Di kaunter itulah Qhalisha pernah mencari rezeki untuk menyambung hidup. Tetapi di waktu itu tiada ulat-ulat bertebaran. Kuasa menjual tiket terletak sepenuhnya ke atas kerani kaunter. Begitu juga dengan komisennya.

Qhalisha tidak mahu berlamaan di situ. Langkahnya yang diatur menuju ke arah food court terhenti di sudut itu. Serta-merta kenangan kenangan pahit empat belas tahun dulu yang menyebabkan dia pergi membawa diri menerjah kotak ingatannya.

Tuesday, September 8, 2009

Sepenuh Hati Bab 4

Petang tu aku ikut ibu balik ke Kuala Lumpur. Gembiranya hati aku ni tak usah nak dikata. Rasa tak sabar nak menjejakkan kaki ke Kuala Lumpur. Rasa lebih tak sabar nak menatap wajah comel Shaf. Sungguh aku rindu dengan Shaf.

Sebaik menjejakkan kaki ke rumah ibu, aku cari telefon dulu. Lepas aje aku telefon nenek beritahu aku dah selamat sampai, terus aku call sepupu Shaf. Aku minta alamat kedai makannya dan tak lupa aku minta dia rahsiakan kedatangan aku ke Kuala Lumpur daripada Shaf. Aku kata aku nak buat surprise. Alhamdulillah, sepupu Shaf nak pulak berkompromi dengan aku.

Malam tu aku ajak ibu dan ayah makan di luar. Mulanya ayah keberatan sebab ayah tak suka makan di luar. Ayah lebih suka makan di rumah. Makan masakan ibu yang bagi ayah adalah masakan yang paling sedap. Puas juga aku pujuk ayah dan akhirnya ayah bersetuju walaupun dia agak terkejut bila aku ajak makan di kedai sepupu Shaf kat Danau Kota.

Seperti yang aku jangka, Shaf terkejut sakan tengok aku di kedai malam tu. Tapi sekejap aje. Lepas dah hilang rasa terkejut dia, punyalah lebar senyuman dia aku tengok. Terubat rindu aku kat dia. Tak lepas-lepas mata aku pandang wajah Shaf sampaikan Shaf naik malu dan tundukkan mukanya waktu nak catat order. Saja je aku lengah-lengahkan masa order hinggakan ayah tegur sikap aku.

Selesai makan aku minta izin nak jumpa Shaf sekejap. Nasib baik sepupu Shaf faham dan izinkan. Ibu dan ayah aku pulak dok jeling-jeling aje bila aku jumpa Shaf. Adik aku pula, tak habis dengan gaya sombong dia tu. Ingat dia tu orang bandar sangat kot.
Sekejap je aku dapat sembang dengan Shaf sebab ayah dah ajak balik. Ala, bukannya ayah sangat pun yang nak balik. Aku tahu mesti adik aku yang gedik ajak ayah balik. Jelouslah tu dengan aku.

“Shaf, ayah Apit dah balik panggil tu. Apit minta diri dulu ye.”

“Yelah.”

“Nanti esok Apit datang lagi. Tapi tak datang dengan ibu dah. Apit datang sendiri.”

“Boleh ke Apit datang sendiri. Apit tahu jalan ke? Nanti sesat karang, susah pulak.”

“Boleh, demi Shaf, Apit sanggup sesat.” Shaf dah tunduk, muka dah merah. Shaf ni malu ke marah ni.

“Lama ke Apit kat KL ni?”

“Lama kot. Apit pun nak cari kerja jugak macam Shaf. Ada kosong tak dekat sini?”

“Hurm! Nanti Shaf tanyakan pada sepupu Shaf.”

“Kalau ada gitau Apit nak kerja sini ye Shaf.”

“Insyaallah.”

“Takpe la, biar Apit balik dulu. Assalamualaikum.”

“Waalaikumsalam.”

Aku tinggalkan Shaf dengan senyuman. Shaf balas senyum aku. Gembiranya aku. Malam itu menjadi malam yang indah buat aku kerana aku tidur ditemani wajah Shaf.

Monday, August 3, 2009

Sepenuh Hati - Bab 3

Selepas habis peperiksaan SPM, ibu dan ayah ajak aku balik Kuala Lumpur tinggal dengan diorang tapi aku tak mahu. Macam-macam alasan aku bagi. Daripada yang logik sampailah yang tak masuk dek akal. Konon takut nenek sakit rindu kat akulah, nak tolong atuk kat kebunlah tapi semua tu alasan je. Yang sebenarnya aku tak nak berjauhan dengan Syaf. Aku tak sanggup. Sedangkan tinggal sekampung, hari-hari jumpa pun, dalam dada aku ni terbeban rindu yang sarat menggunung untuk Shaf, inikan pulak kalau aku tinggalkan dia beribu batu jauhnya. Mahu pecah dada aku tak tertahan menanggung rindu nanti.

Tapi sebaliknya pada Shaf. Dua minggu selepas habis SPM, tiba-tiba sepupu dia dari Kuala Lumpur balik kampung. Tujuan dia nak mengajak Shaf membantu dia kat kedai makan yang dia usahakan kat bandar besar tu. Mak dan ayah Syaf izinkan Shaf kerja. Kata diorang untuk cari pengalaman dan cari duit belanja untuk sambung belajar nanti. Lepas je Shaf dapat keizinan, Shaf terus datang jumpa aku untuk kongsi berita gembira dia yang sudah semestinya merupakan berita sedih buat aku.

Tanpa fikir panjang, aku terus minta izin nenek nak tinggal dengan ibu dan ayah kat Kuala Lumpur. Nenek tak membantah langsung sebab nenek kata dia tahu aku buat semua ni sebab Shaf. Aku tarik sengih ajelah dengar kata-kata nenek tu. Waktu aku beritahu ibu dan ayah tentang kepulangan aku ke pangkuan diorang, memang diorang gembira sangat. Diorang tak tahu sebab utama yang ada dalam kepala aku ni. Syukurlah nenek pun sporting dan sekepala dengan aku, makanya rahsia sebenar kepulangan aku nanti ke pangkuan kedua ibu dan ayahku tersimpan kukuh.

Hari Ahad tu Shaf ikut sepupu dia ke Kuala Lumpur. Rumah sepupu dia dekat Sentul. Selepas seminggu Shaf berada dekat Kuala Lumpur, Shaf telefon aku. Shaf beritahu aku, sepupu dia buka kedai makan dekat Danau Kota. Diorang berniaga dari petang sampai tengah malam. Kedai ala-ala tomyam gitu. Macam-macam Shaf cerita tentang kehidupan dia kat tempat baru. Aku senyum ajelah mendengarkan semua cerita dia. Kemudian bila Shaf cerita bab persekitaran tempat kerja dia, senyuman aku mati tiba-tiba.

“Apit, kat sebelah kedai makan Kak Ira ni ada bengkel kereta. Diorang tiap-tiap hari datang makan dekat sini lepas bengkel tutup.”
“Diorang ada kacau Shaf ke?”
“Ada sorang mekanik tu la Pit, dia selalu usik Shaf. Dia minta nombor telefon Shaf.”
“Abis tu, Shaf bagi ke?”
“Apit ni kan, macam mana Shaf nak bagi, Shaf kan tak ada nombor telefon.”
“Oh! Kalau Shaf ada nombor telefon, Shaf bagilah ye?”
“Isk Apit ni. Ada pulak cakap macam tu.”
“Manalah tahu kalau Shaf terpikat pulak kat dia, pastu Shaf bagi nombor telefon rumah Kak Ira ke.”
“Tak naklah. Nanti Kak Ira marah.”
“Oklah Shaf, Apit ada kerja nak buat ni. Nanti kita sembang lagi.”

Selepas berbalas salam, aku letak gagang telefon dan akal aku ligat berfikir. Sekarang jugak aku nak telefon ibu. Aku nak mintak ibu ambil aku. Aku nak pergi Kuala Lumpur. Aku dah tak nak tunggu ayah tunggu cuti lulus lagi. Aku dah tak sabar nak dekat dengan Shaf. Kalau ibu tak nak ambil aku, biar aku naik bas aje pergi sana.

Selepas call ibu aku rasa lega bila dengar jawapan ibu. Ibu dah janji esok ibu nak balik ambil aku. Jadi hari ini aku nak kemaskan pakaian untuk aku bawa ke sana. Seronoknya. Tak sabar nak jumpa Shaf. Rindu aku ni dah menggebu-gebu. Rindu nak tatap wajah Shaf yang comel tu. Rindu nak tengok senyuman Shaf yang mengancam jiwa tu. Aku tak nak bagitahu Shaf dulu. Aku nak buat kejutan kat dia nanti. Shaf, tunggu Apit datang.

Friday, July 24, 2009

Sepenuh Hati - bab 2

Masa ayah cuti tu, ayah uruskan semula hal pertukaran sekolah aku ke kampung. Mula-mula guru besar sekolah tu hairan juga sebab hanya seminggu je aku dah pindah ballik ke sini tapi bila ayah terangkan hal yang sebenarnya, barulah diorang faham. Aku dapat masuk semula kelas yang dulu. Dapat duduk semula sebelah Shaf. Sama macam sebelum aku pindah ke Kuala Lumpur dulu. Shaf pun gembira bila aku balik semula ke sekolah ni. Shaf kata, masa aku kat Kuala Lumpur, dia tak ada kawan nak sembang, tak ada kawan nak ajak study sama-sama. Nak main-main pun tak ada kawan. Shaf kan rapat dengan aku. Aku ingat lagi satu hari tu Shaf cakap dengan aku. Waktu tu kitorang tengah jalan kaki sama-sama balik dari sekolah.

“Syukurlah Apit balik semula ke sini. Shaf boring tinggal sorang-sorang kat sini. Shaf takde kawan nak ajak main-main, nak buat kerja sekolah sama. Dekat sekolah pun Shaf takde kawan.”

“Kenapa pulak? Kan kat sekolah ada ramai orang.”

“Apit kan tahu, Shaf selalu dengan Apit je kat sekolah. Kat rumah pun selalu kita main sama-sama. Nak pergi mengaji pun sama-sama.”

“Masa Apit tak ada, takkanlah tak ada orang nak rapat dengan Shaf. Apit tengok kan, si Mamat tu dah lama usha Shaf.”

“Si Mamat anak tokey ikan tu? Memanglah ada tapi tak samalah dengan Apit.”

“Kenapa Shaf cakap macam tu?”

“Gelilah dengan dia tu. Asyik cakap yang bukan-bukan je.”

“Dia cakap apa dengan Shaf?”

“Dia asyik cakap dia suka Shaf. Jalan pun nak pegang tangan Shaf. Gelilah.”

Aku hanya mampu ketawa aje bila tengok Shaf buat muka geli-geleman dia. Aku tahu si Mamat anak tokey ikan tu memang dah lama syok dengan Shaf. Sejak darjah satu lagi. Pelikkan bila budak sekolah rendah pun dah pandai main cinta. Aku pun tak sangka sampai macam tu sekali si Mamat tu berani buat. Baru darjah tiga, dah pandai cakap suka kat orang, dah pandai nak pegang tangan anak dara orang.

Pernah juga si Mamat tu sound aku suruh jauhkan diri dari Shaf. Masa tu kitorang darjah enam. Tapi aku buat tak peduli aje. Memang betul si Mamat tu sakit hati dengan aku sampaikan satu hari masa nenek suruh aku pergi beli ikan dekat kedai ayah Mamat, dia tak mahu jual ikan dekat aku. Dia kata ikan dah habis. Tapi bila orang lain nak beli ikan, ada pulak stok ikan dia. Depan mata aku pulak tu dia jual ikan tu dekat orang lain. Berasap je aku rasa. Bertambah berasap bila balik rumah, nenek marah aku sebab takde ikan nak masak. Sudahnya hari tu nenek masak gulai telur itik dengan pucuk gelugur. Sedap hingga menjilat siku.

Aku sekolah sama dengan Shaf dari sekolah rendah sampai habis SPM. Walaupun aku dapat masuk MRSM tapi aku tak mahu pergi. Aku nak sekolah biasa jugak, sekolah sama dengan Shaf. Shaf pernah nasihatkan aku suruh masuk jugak MRSM tu tapi aku tak mahu. Alasan aku tak nak nenek sakit sebab berjauhan dengan aku. Padahal sebab utamanya adalah sebab aku tak mahu berpisah dengan Shaf. Kalau boleh sampai bila-bila pun aku nak berdekatan dengan Shaf.

Masa tingkatan empat pernah ada seorang budak lelaki yang baru pindah ke sekolah kami cuba nak tackle Shaf. Macam-macam cara dia buat nak tarik perhatian Shaf tapi tetap Shaf tak layan. Lepas sebulan mencuba nasib, akhirnya budak lelaki tu mengalah. Aku tentulah orang yang paling gembira sekali dengan keputusan budak lelaki tu. Kemudian satu petang aku buat sesi meluah rasa dengan Shaf.

“Kenapa Shaf tak layan si Khairul tu? Macam-macam dia belikan Shaf. Shaf tak tertarik ke?”

“Tak.”

“Kenapa?”

“Malas nak layan dia.”

“Kenapa malas nak layan?”

“Sebab bila Khairul dekat aje dengan Shaf, Apit tarik muka masam.”

“Mana ada Apit tarik muka masam. Apit sukalah kalau ada orang nak tackle Shaf. Sekurang-kurangnya Apit tau Shaf ni ada orang nak jugak.”

“Iyelah tu takde.”


“Eh! Betullah.”

“Shaf bukannya apa Pit, Shaf tak nak sakitkan hati Apit kalau layan orang lain.” Muka Shaf dah merah masa ni. Mata diapun asyik tunduk pandang kasut.

“Kenapa pulak?” Masih nak tanya sedangkan dalam hati dah berbunga-bunga bila dengar Shaf cakap macam tu.

“Entahlah, Shaf pun tak tau kenapa.” Senyum aku dah lebar dah masa tu sedangkan Shaf masih lagi tak berani angkat muka.

Aku sebenarnya tak suka budak lelaki lain rapat dengan Shaf. Aku takut hilang Shaf kalau dia dah ada orang lain. Aku dah lama suka Shaf. Sejak aku kecik. Tapi aku tak pernah beritahu Shaf perasaan aku kat dia sebab aku takut Shaf tak terima. Buatnya Shaf terkejut dengar luahan rasa aku, dia marah, tak pasal-pasal aku hilang sahabat.

Sepenuh Hati - bab 1

Nama aku Mohd Syafik Ariff bin Mohd Syamsul Ariff. Aku tinggal bersama atuk dan nenek di kampung semenjak aku masih bayi. Di sebelah rumah nenek, terdapat sebuah rumah kayu seperti rumah nenek aku yang dihuni oleh Tok Mat dan Nek Odah. Tok Mat dan Nek Odah ada seorang cucu perempuan, nama dia Syafika. Aku panggil dia Syaf aje. Panggilan manja tu aku sorang je guna. Orang lain semua panggil dia Ika.

Aku dan Syaf berkawan dari kecil, main sama-sama, pergi mengaji kat surau sama-sama. Pergi sekolah pun sama-sama sebab aku satu kelas dengan Syaf. Setiap hari aku akan boncengkan Syaf kat belakang basikal aku. Walaupun Syaf agak montel tapi kuranglah dari dulu namun itu tak menjadi halangan kepada aku untuk memboncengkannya. Ala! Bukannya berat sangatpun. Lagipun Syaf tu comel. Waktu kecil dulu, masa umur Syaf dua tiga tahun memang dia montel sangat tapi aku tak kisah pun berkawan dan bersahabat dengan dia.

Aku ni rupa boleh tahanlah maklumlah aku ni kacukan. Ibu aku melayu tapi ayah aku cina. Jangan salah sangka. Ayah aku bukan masuk islam sebab nak kawin dengan ibu aku tapi atuk dan nenek belah ayah aku yang tukar agama selepas berkahwin. Atuk dan nenek aku memang orang cina tapi masuk islam lepas berkahwin. Masa belum kahwin lagi diorang dah jatuh cinta pada islam tapi sebab takut keluarga moyang aku menghalang niat baik mereka tu, mereka berkahwin dulu ikut adat nenek moyang mereka. Selepas berkahwin baru diorang berani bertukar agama dan seterusnya berterus-terang dengan kedua-dua buah keluarga.

Atuk dan nenek aku dibuang keluarga selepas tu. Maklumlah, baru menganut islam maka pegangan agamapun belum berapa kuat. Apabila keluarga kedua-dua moyang aku melontarkan kata-kata hinaan kepada atuk dan nenekku, menghina agama yang dianut oleh atuk dan nenekku, kedua-dua mereka nekad untuk membawa diri ke tempat lain. Atuk dan nenekku berpindah dari negeri tanah tumpah mereka di Johor dan berhijrah ke Kelantan.

Ayah aku dilahirkan dan dibesarkan di Kelantan. Kemudian selepas mendapat keputusan STPM, ayahku melanjutkan pelajaran ke Universiti Malaya. Di sanalah ayah bertemu dengan ibuku yang juga merupakan juniornya. Selepas ayah menamatkan pelajarannya dan mendapat ijazah, ayah diterima bekerja sebagai eksekutif kewangan di sebuah institusi kewangan. Ayahkan mengambil jurusan perakaunan jadi mudahlah mendapat pekerjaan seperti itu. Selepas ibu menamatkan pelajarannya, baru ayah berani meminta izin dari atuk dan nenekku untuk memperisterikan ibu.

Selepas melahirkan aku, ayah mendapat tawaran melanjutkan pelajarannya ke peringkat yang lebih tinggi di luar negara. Menurut cerita ibu, waktu tu umur aku baru dua bulan. Ayah dan ibu nak bawa aku sekali tapi atuk dan nenek tak izinkan. Biasalah orang tua. Atuk dan nenek takut aku terikut-ikut budaya asing dan lupa adat resam orang melayu. Mulanya ibu dan ayah tak setuju nak tinggalkan aku tapi bila nenek merajuk tak mahu cakap dengan diorang, akhirnya ibu dan ayah aku setuju tinggalkan aku di kampung. Tinggal di bawah jagaan atuk dan nenek aku.

Atuk dan nenek membesarkan aku dengan sepenuh kasih sayang. Maklumlah, ibu aku anak tunggal. Atuk dan nenek tak ada cucu lain nak dijaga. Masa ibu dan ayah di luar negara, ibu ada melahirkan seorang lagi anak. Kali ni perempuan pulak. Jadi adalah sepasang cucu atuk dan nenek aku. Tapi yang pastinya, kasih sayang dari atuk dan nenek untuk aku memang lebihlah dari adik aku walaupun adik aku tu perempuan.

Lepas ayah habis belajar, ibu dan ayah pulang semula ke Malaysia. Masa tu baru aku dapat jumpa adik aku secara live. Yelah, sebelum ni hanya dapat tengok melalui gambar yang dikirimkan oleh ibu aku aje. Cantik juga adik aku bila bukan dalam gambar. Tapi adik aku ni berlagak sikit. Mentang-mentang dia lahir kat luar negara. Tapi bukan lama sangatpun dia dapat membesar kat tempat orang tu. Lepas dua tahun dia lahir, ayah dan ibu balik ke sini.

Selepas balik dari sana, ayah kerja semula di tempat lamanya dan dah dinaikkan pangkat jadi pengurus kewangan. Ibu pula tak bekerja, hanya menjadi surirumah sepenuh masa. Asalnya ibu dan ayah nak bawa aku tinggal sekali dengan diorang kat Kuala Lumpur tapi nenek tak setuju. Ibu dan ayah pujuk-pujuk juga atuk dan nenek. Bertahun jugaklah ibu dan ayah cuba pujuk nenek.

Sampai aku naik sekolah pun ibu dengan ayah masih tak berjaya pujuk nenek. Tapi akhirnya waktu aku naik darjah tiga, dalam keterpaksaan nenek izinkan juga aku dibawa pergi. Itupun selepas ibu buat sesi meluahkan perasaan kat nenek. Ibu kata kat nenek yang adik aku dah naik darjah satu. Ibu nak masukkan aku satu sekolah dengan adik, nanti aku boleh tengok-tengokkan adik aku. Lepas dapat keizinan je, terus ayah uruskan semua hal berkaitan pertukaran sekolah aku tapi tak lama aku boleh bertahan di sana.

Seminggu je aku tinggal dengan ibu dan ayah. Mana taknya, ayah terpaksa hantar aku balik kampung semula bila aku kat Kuala Lumpur dah demam sebab rindu atuk dan nenek manakala nenek kat kampung pulak dah jatuh sakit sebab rindukan aku. Lagipun aku rindu sangat dekat sahabat aku, Shaf yang ada dekat kampung. Walaupun hari-hari aku telefon Shaf tapi aku rindu jugak sebab tak dapat tengok muka dia.

Bila ibu dan ayah kata nak hantar aku balik kampung semula, aku gembira sangat. Terus baik demam aku. Orang pertama yang aku cari sebaik aku jejakkan semula kaki aku kat kampung adalah Shaf. Lepas jumpa Shaf, dapat pandang muka dia baru aku cari atuk dan nenek. Kesian nenek, sampai jatuh sakit sebab rindukan aku tapi aku balik-balik je cari orang lain. Tak patut punya cucu kan.

Ibu dan ayah ambil cuti seminggu dan tinggal di kampung. Tujuannya nak jaga nenek dan sekaligus nak uruskan hal pertukaran sekolah aku semula ke kampung. Selepas aku berada di depan mata nenek dan berkat jagaan ibu, nenek beransur sihat. Bila tempoh cuti ayah dah habis, diorang balik semula ke Kuala Lumpur bersama adik aku. Nenek pulak selepas sihat masakkan aku pelbagai juadah yang sedap-sedap. Katanya qada’ balik apa yang dah terlepas untuk tempoh seminggu aku tak ada tu. Lawakkan nenek aku.

Sepenuh Hati - Prolog

Kata orang, dari segi kebaikannya adalah seorang sahabat boleh dinaiktaraf menjadi seorang kekasih apabila perasaan sayang itu disemai secukup rasa. Namun, keburukannya pula adalah, jika terjadi perselisihan faham, kita mungkin akan kehilangan kekasih dan juga sahabat dalam masa yang sama. Hanya insan yang bertuah sahaja mampu memiliki seorang insan yang bergelar kawan, sahabat dan kekasih dalam satu masa.

Perkara itulah yang aku fikirkan selama ini, yang membebankan perasaanku. Aku menyayanginya sebagai seorang sahabat dan dalam masa yang sama aku menyintainya. Kalau boleh aku ingin memilikinya sebagai suri hidupku. Sebagai teman hidup yang menemani siang dan malamku. Tapi aku takut. Aku takut untuk meluahkan perasaanku padanya. Aku takut seandainya dia menolak luahan perasaanku. Aku takut dia tidak boleh menerima aku lebih dari seorang sahabat. Dan yang paling aku takut, dia akan meninggalkan aku, pergi dari hidupku.

Aku takut seandainya perkara itu terjadi dalam hidupku. Aku amat menyayanginya. Aku sangat memerlukan dia dalam hidupku. Aku menyintainya sepenuh hati. Aku tak rela kehilangannya. Bagaimana aku akan meneruskan kehidupanku seandainya dia pergi dariku. Aku buntu. Aku sudah terlalu lama menyimpan perasaanku ini darinya. Aku ingin meluahkannya. Aku ingin dia tahu akan perasaanku terhadapnya. Aku ingin membina mahligai bahagia bersamanya. Tapi aku tak tahu bagaimana harus aku meluahkan perasaanku terhadapnya yang aku simpan selama ini.

Ya tuhanku, bantulah aku. Bukakanlah pintu hatinya untuk menerimaku agar dapat aku membuktikan kejujuran cintaku padanya. Bukakanlah hatinya agar dia mengerti bahawa selama ini aku menyintainya.

Wednesday, July 22, 2009

Rajuk - Prolog

Perginya membawa hati yang luka. Enam tahun mereka menyemai rasa cinta. Enam tahun mereka bahagia bersama namun tanpa terduga, cinta yang disemai padam tiba-tiba. Bahagia yang melingkari kehidupan mereka kini hilang sekelip mata.

Sesuatu yang tidak dijangka yang telah terjadi di antara mereka meragut segala kebahagiaan yang tercipta. Puas dia berusaha mengekalkan apa yang pernah menjadi miliknya. Segala duri ranjau yang merintangi perjalanan cintanya diharungi dengan tabah dan sedaya upayanya namun setelah puas berusaha, akhirnya dia pasrah.

Dia pasrah menerima kenyataan. Dia pasrah menerima ketentuan tuhan. Dia pasrah menerima takdir yang tertulis untuknya. Lalu langkah kaki dihayun lemah membawa pergi bersama jiwa yang telah mati.

Perginya bersama rajuk. Rajuk yang tiada siapa memujuk.

Sepenuh Hati by Spoon

Bagaimana harusku luahkan
Perasaanku padamu
Yang selama ini ku pendamkan
Dalam diam ku

Sukarnya ku berterus-terang
Tentang perasaan ini
Bimbang seandainya tak kau terima
Musnahlah harapanku ini

Bagaimana harus aku menghadapi
Semua itu
Sedangkan ku menyintaimu sepenuh hati
Tak mudah untukku melupakan dirimu
Kau bagiku Segala-galanya

Pada yang Maha Kuasa
Ku panjatkan doa
Moga dibukakan pintu hatimu
Kan ku buktikan kejujuran cintaku

Jangan biarkan keraguan
Menghantui jiwamu
Dalam ku menanti sebuah kepastian
Dari bibirmu oh kasih

Kasih dan sayang
Cinta dan rindu
Tersemat di jiwaku
Usah biarkan ku kecewa
Membalut luka

Agar kau mengerti
Yang selama ini
Aku menyintaimu