? ??????????????Love and Laughs? ????? ?? ???Rating: 4.4 (5 Ratings)??88 Grabs Today. 7093 Total Grabs. ??
????Preview?? | ??Get the Code?? ?? ?????Live, Love, Laugh? ????? ?? ???Rating: 4.6 (8 Ratings)??87 Grabs Today. 14933 Total Grabs. ??????Preview?? | ??Get the Code?? ?? ???????????? BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS ?

Thursday, February 18, 2010

Qhalisha 3

“Sini dik. Sini dik. Nasi campur, mee goreng, bakso.”
“Nasi ayam, nasi goreng.”

Sebaik kaki melangkah memasuki kawasan food court, beberapa pekerja kedai yang memang ternanti-nantikan pelanggan meluru datang ke arah Qhalisha dengan harapan kedai mereka akan menjadi pilihan. Rata-rata yang datang merupakan pekerja Indonesia berdasarkan slang yang kedengaran. Qhalisha hanya tersenyum dengan keadaan yang sedang dihadapinya lalu langkah diteruskan menuju ke kedai yang terletak bersebelahan tempat menyimpan beg.

Nasi campur menjadi pilihan Qhalisha untuk tengahari itu. Sambil menikmati makanan, mata melilau memandang ke sekeliling kawasan food court tersebut. Pandangan matanya terhenti di kedai makanan paling hujung yang terletak bersebelahan tangga. Di kedai itulah dulu Qhalisha seringkali mengisi perutnya dengan hidangan nasi ayam yang menjadi sajian utama di situ.

Usai mengisi perut, pekerja kedai dipanggil untuk mengira harga makanan yang diambil. "Semua sekali tujuh ringgit.” Harga yang kedengaran dari mulut pekerja kedai memeranjatkan Qhalisha. Begitu jauh bezanya harga makanan dulu dan sekarang. Kalau dulu makanan seperti yang diambil sebentar tadi hanya berharga empat ke lima ringgit sahaja. Mungkin kerana mengikuti perkembangan semasa kenaikan harga barang yang semakin lama semakin mahal. Atau mungkin juga kerana ingin menampung visa dan permit pekerja warga asing mereka maka pelanggan dikenakan bayaran tinggi sebegitu.

Selesai melunaskan bayaran, Qhalisha mengatur langkah meneruskan perjalanan meninggalkan Hentian Puduraya yang banyak merakamkan kenangan dalam hidupnya sepanjang menetap dan bekerja di Kuala Lumpur. Suasana bandaraya Kuala Lumpur memang sudah berbeza. Kaki dihayun menuju ke Stesen Bas Klang yang terletak berhadapan Pasar Seni. Melintasi Kotaraya yang gah berdiri yang dahulunya penuh dengan remaja melayu yang melepak kini sudah berganti dengan kebanjiran warga asing terutama dari Filipina yang kebanyakannya berniaga bahan kecantikan. Tak ketinggalan juga warga asing dari pelbagai bangsa yang bersantai di situ.

Melihat bas Metro yang berhenti mengambil penumpang di situ mengingatkan Qhalisha kepada teman baiknya sewaktu dia menjadi penghuni Kem Sungai Besi dahulu. Di situlah rakannya itu dua kali dalam masa sebulan kehilangan dompet yang disimpan di dalam beg tangannya sewaktu berebut-rebut menaiki bas. Kasihan bila memikirkan nasib rakannya itu. Tetapi kini Qhalisha telah terputus hubungan terus dengan rakannya itu. Entahkan sihat entahkan tidak. Entah-entah telah berkeluarga. Sudah lama Qhalisha tidak berhubungan dengannya. Kali terakhir ketika dia menerima perkhabaran tentang lelaki itu yang telah dianggap mati dalam ingatannya. Perkhabaran yang membuatkan Qhalisha merasakan bahawa tuhan itu maha mengetahui. Berita yang menyatakan bahawa lelaki itu yang telah mendirikan rumahtangga dengan pilihan hatinya itu telahpun berpisah.

Qhalisha masih ingat di situlah, di bangunan Kotaraya itulah dia selalu menghabiskan masa bermain permainan video bersama rakan-rakan sekepala, yang rata-ratanya adalah lelaki. Qhalisha lebih senang berkawan baik dengan lelaki kerana tiada pengkhianatan. Sungguh Qhalisha serik untuk mempercayai kaum sejenisnya lagi setelah kepercayaannya dibalas kecurangan dan penipuan.

Selepas perpisahannya dengan lelaki itu, Qhalisha yang masih bekerja turut meletak jawatan dari syarikat pengangkutan yang beribu pejabat di Melaka itu walaupun Qhalisha mempunyai rekod yang baik di situ. Qhalisha mengalih angin memperbaiki nasib dengan bekerja sebagai pembantu tadbir kewangan di sebuah universiti awam yang terletak di Lembah Pantai. Bekerja di sana, Qhalisha menemui rakan-rakan yang sekepala dengannya. Sama gila-gila sepertinya. Di situ Qhalisha tidak perlu lagi mengawal diri berpura-pura menjadi hipokrit. Di situ Qhalisha boleh menjadi dirinya sendiri. Qhalisha gembira di situ. Bersama rakan-rakan di situlah Qhalisha mengenali dunia yang penuh keseronokan. Keseronokan sementara.

Meneruskan lagi perjalanan, Qhalisha tiba di Pasar Seni. Di sini juga Qhalisha seringkali menghabiskan masa bersama lelaki itu. Memandang terus ke arah bangku-bangku batu yang terletak di sepanjang sungai bersebelahan Pasar Seni, mengingatkan Qhalisha kepada kenangan sewaktu bersama lelaki itu. Seringkali di bangku itu Qhalisha menghabiskan waktu bersama lelaki itu sebelum pulang ke rumah selepas seharian bekerja. Ah! Banyak sungguh kenangan Qhalisha bersama lelaki itu. Lelaki yang menjadi punca putusnya perhubungan Qhalisha bersama cinta pertamanya.

Sesekali Qhalisha terfikir, mungkin apa yang dialaminya bersama lelaki itu merupakan balasan tuhan terhadap kesilapan yang telah dilakukannya dulu. Mengkhianati seorang insan yang benar-benar menyayanginya, yang sanggup menunggunya menghabiskan persekolahan untuk hidup bersama. Qhalisha redha dengan ketentuan tuhan.